Bukan Saya Dalam Adegan Panas Itu - Carmen Soo

1:44 AM
"OH ya, itu bukan saya. Pelakon wanita itu sebenarnya pelakon Taiwan dan pelakon lelaki itu pula pelakon Malaysia, Isaac Ong", kata aktres juga model antarabangsa Carmen Soo ketika diminta mengulas mengenai satu adegan 'panas' dalam filem yang dibintanginya, The Hunter yang mencetuskan kontroversi.

Ramai menjangka adegan tersebut dilakonkan oleh Carmen tetapi sebenarnya pelakon wanita itu ialah Tavani.

Carmen Soo atau nama sebenarnya Soo Wai Ming ditemui pada majlis pelancaran RubyCollagen sekali gus mengumumkan dia sebagai wajah baru produk anti-penuaan Innershine itu, di Ampang, semalam.

The Hunter merupakan filem seram-'thriller' dalam format 3D pertama di Asia Tenggara, dan diarahkan oleh Bjarne Wong yang pernah mengarahkan filem 'Sayang You Can Dance' pada tahun 2008. Filem ini sepatutnya ditayangkan pada September lalu namun tayangannya ditangguh kerana masih lagi dalam proses post-produksi.

"Dua bulan lepas, saya ada bertanyakan pada pengarah tentang filem ini dan saya diberitahu ianya masih dalam proses post-produksi. Saya difahamkan disebabkan filem itu dalam format 3D jadi ia memakan masa yang lama untuk disiapkan. Ini juga merupakan filem 3D pertama saya.

"Dalam filem itu, saya berlakon sebagai pengarah yang datang ke satu kepulauan bersama produksi saya untuk membuat dokumentari. Satu filem yang mencabar tetapi memberi pengalaman yang menarik pada saya. Kami menjalani pengambaran di kawasan pedalaman di sekitar Borneo. Kami juga menjalani penggambaran dalam hutan dan ketika itu pula musim hujan. Jadi bayangkan saja betapa kami terpaksa menahan sejuk, nyamuk dan kami terpaksa pakai baju basah", ujar Carmen berkongsi pengalamannya menjayakan filem yang turut dibarisi pelakon seperti Sharifah Amani, Lou Qi, Cindy Chen, Soo Wincci, Smythe Wong dan Wayne Thong.

Menyentuh mengenai perkembangan terbaru wanita kelahiran Ipoh Perak ini memberitahu karier lakonannya di Filipina dan Singapura kini semakin berkembang.

"Saya baru selesai jalani penggambaran filem Ghost Child di Singapura dan akan ditayangkan pada tahun depan. Selain, satu lagi filem berjudul Dead Mind yang akan ditayangkan di saluran HBO Asia", katanya.

Meskipun penat berulang-alik Singapura-Kuala Lumpur-Filipina, tetapi kata Carmen pengorbanannya berbaloi apabila dia semakin dikenali dan menerima banyak tawaran berlakon filem di dua negara itu. Pun begitu, dia belum berasa selesa dengan pencapaiannya kini malahan diakui banyak lagi yang perlu dipertingkatkan.

"Orang banyak berkata kepada saya betapa bertuahnya saya dapat berlakon di Filipina. Tetapi hakikatnya saya sangat berusaha keras untuk menempatkan nama di sana. Jadual saya sangat padat. Sampaikan pernah saya dimasukkan ke hospital selamat empat hari kerana terlalu letih.

"Di Filipina, cara kerjanya berbeza. Misalnya untuk penggambaran, hanya tiga hari dalam semiggu tetapi sekali penggambaran mengambil masa selama 24 jam di set lokasi. Kalau tidak ada penggambaran, saya akan mengacarakan program TV, menghadiri sesi fotografi, sesi temubual dan sebagainya. Dari segi komunikasi, saya pada awalnya memang sukar tetapi lama-kelamaan saya boleh berbahasa Tagalog walaupun tidak terlalu fasih tapi saya faham apa yang dibualkan."

Walaupun sudah hampir empat tahun mencipta kerjaya di Filipina namun Carmen berkata dia tidak merasakan dirinya banyak sudah bagus kerana banyak lagi yang perlu diperbaiki dari segi mutu lakonannya. Kerana itu juga dia harus bersikap memilih.

"Saya bukanlah seperti Julia Roberts. Saya belum rasa yang saya ni betul-betul bertaraf antarabangsa. Saya cuma mencari peluang sebanyak mungkin di luar negara. Diakui saya agak memilih dalam menerima tawaran berlakon.

"Di Malaysia, bukan tidak ada tawaran cuma buat masa ini saya tidak mengambil sebarang tawaran di sini kerana watak yang diberi kurang sesuai. Kalau di luar setakat ini saya rasa peluang untuk saya pelbagaikan watak lebih senang. Di Singapura saya diberi peluang berlakon filem 'thriller'. Kalau di Filipina, saya pernah mainkan watak antagonis juga watak yang memerlukan saya bermain dengan emosi. Baru-baru ni saya sebagai cameo dalam filem Alagwa (Breakaway). Filem tersebut diterajui oleh Jericho Rosales," tuturnya.

Telanjur Carmen menyebut nama Jericho, terus wanita berusia 35 tahun ini diajak bercerita mengenai perkembangan hubungan mereka berdua kerana sebelum ini Carmen pernah digosipkan bercinta dengan pelakon kacak itu sewaktu mereka berdua menerajui drama bersiri popular Kahit Isang Saglit.

"Saya dengan Jericho kawan baik. Cerita tentang kami bercinta tu hanya gosip. Dia sudah ada teman wanita dan saya pernah berjumpa dengan kekasihnya itu. Dia sangat baik.

"Saya pula? Terus terang, saya sedang mengenali seseorang. Dia orang Malaysia. Hubungan kami masih baru beberapa bulan. Kami tidak satu bidang. Buat masa ni saya tak fikir lagi nak kahwin. Dulu saya 'target' nak kahwin sewaktu umur 28 tapi sekarang dah terlepas target. Jadi, biarlah dulu", tuturnya sambil tersenyum.

Sekadar mengusik, sebelum mengakhiri perbualan, MD bertanyakan apakah perasaan Carmen apabila tersenarai antara '25 Wanita Paling Seksi Di Asia Tenggara' oleh sebuah majalah di New York baru-baru ini. Sambil gelak, Carmen menjawab, "Saya gembira dan berbesar hati terpilih tetapi tidaklah terlalu memikirkan sangat tentang perkara itu."

Powered by Blogger.