Apex Dan Leuniey Bakal Diijabkabul 28 Disember, Menerima Tajaan Bernilai RM300,000

12:46 AM
Selepas timbul pelbagai spekulasi mengenai tarikh perkahwinan Mohd Khairul Fahmi Che Mat (Apex) dengan gadis pilihan hatinya, Nur Eilunie Natasha Nazri (Leuniey), teka-teki akhirnya terjawab. Pasangan kekasih ini memilih untuk tidak bertunang sebaliknya akan terus bernikah pada 28 Disember ini.

Majlis akad nikah bakal dilangsungkan di kediaman isteri Apex, Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan, jam 9 pagi. Untuk makluman, jumlah tajaan yang telah diterima oleh pasangan ini sudah pun mencecah RM300,000. Pastinya ini akan menjadi salah satu wedding of the year.

Berita gembira tersebut diumumkan sendiri oleh penjaga gol bola sepak kebangsaan itu di satu sidang media khas yang berlangsung tengahari tadi.

"InsyaAllah, saya akan bernikah pada 28 Disember depan dan tiga majlis resepsi bakal diadakan untuk perkahwinan saya ini. Dua majlis di Kelantan dan sebuah majlis lagi akan di adakan di Hotel Royale Bintang Damansara.

"Saya mengalu-alukan kedatangan semua media untuk majlis pernikahan dan resepsi sebelah lelaki dan perempuan di Kelantan.

"Bagaimanapun, untuk majlis resepsi di Kuala Lumpur, hanya kenalan rapat saja yang bakal dijemput disebabkan majlis ini bakal diadakan secara kecil-kecilan saja", kata Apex di sidang media bertempat di Hotel Royale Bintang Damansara.

Sebelum ini, media melaporkan Apex dan Leuniey rancak mengatur persiapan untuk majlis perkahwinan sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, majlis persandingan sebelah perempuan bakal diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu Kelantan pada 30 Disember jam 8 malam berkonsepkan Melayu kontemporari.

Manakala persandingan sebelah pihak lelaki akan dilaksanakan di kediaman Apex iaitu di Kampung Chenang Kota Bharu, Kelantan bermula jam 1 tengah hari dengan bertemakan ala kampung.

Sebuah majlis resepsi pula akan diadakan di Hotel Royale Bintang Damansara pada 13 Januari depan bermula jam 8 malam dengan memilih konsep 'English style'.

Apex dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas mereka berkenalan ketika terlibat dalam iklan minyak wangi 'SimplySiti Eau De Parfum' milik penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, awal tahun ini.

Tahniah kami ucapkan kepada pasangan ini.

Powered by Blogger.