Chef Riz dan Ana Dahlia Sah Bercerai

6:04 AM
Kami sudah dapat mengagak ini kesudahan pergolakan yang berlaku dalam rumah tangga Chef Riz dan pelakon Ana Dahlia sejak mereka mengakui yang mereka mempunyai masalah.

Namun ketika bertemu Ana Dahlia kira-kira dua hari lalu sewaktu di satu sidang media di Sri Pentas TV3, Ana Dahlia terus berusaha untuk 'menyembunyikan' perkara sebenar.

Beliau enggan bercerita lanjut walaupun dia didesak pihak media.

Ana Dahlia hanya berkata, satu hari nanti dia akan memberitahu segala-galanya.

Ternyata Ana belum bersedia untuk berkongsi dengan masyarakat umum yang dia sekali lagi mengalami kegagalan rumah tangga.

Namun, dalam laporan akhbar hari ini menyebut anak kepada Chef selebriti terkenal Chef Wan, Chef Riz, mengesahkan kebenaran desas-desus yang tersebar luas ketika ini bahawa dia sudah pun bercerai dengan isterinya itu.

“Ya, saya memang sudah bercerai,” kata anak sulung kepada Chef selebriti tersohor, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail.

Chef Riz atau nama sebenar Mohd. Nadzri Redzuawan, 30, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci perceraian berkenaan.

Baru-baru ini, pasangan tersebut dilihat telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah di Kajang, Selangor.

Chef Riz mengakui perceraian itu berpunca daripada tiada persefahaman antara mereka sejak melayari bahtera perkahwinan 11 bulan lalu.

Dia juga mengakui perkenalan singkat dengan Ana Dahlia hanya selama lapan bulan turut menjadi punca keruntuhan rumah tangganya.

Ana Dahlia, 29, yang merupakan pelakon filem Mantra diperkenalkan kepada Chef Riz oleh adiknya sendiri, Serina.

“Saya akui kami kahwin terlalu cepat, hanya selepas lapan bulan kami berkenalan. Selepas berkahwin tidak sampai setahun, kami berdua nampaknya tidak lagi mempunyai persefahaman dan perceraian adalah jalan terbaik buat kami,” ujarnya.

Selain itu, Chef Riz juga mengakui kesibukan dirinya sebagai Chef dan Ana Dahlia pula dengan karier lakonan menjadi antara punca mereka tiada persefahaman.

Chef Riz bagaimanapun berkata dia dan Ana bercerai secara baik.

"Saya masih sayangkan Ana, jika ditakdirkan Allah selepas ini kami rujuk semula dalam tempoh tiga bulan edah, saya terima", katanya.

Juri program MasterChef Malaysia itu juga memohon supaya tiada spekulasi negatif dibuat berhubung dengan punca penceraiannya itu.

Powered by Blogger.