Anne Ngasri Tidak Mahu Lagi Ingat Aliff Aziz
Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 28, berkata, keputusan itu dibuat kerana dia enggan mengingati lagi peristiwa lama selepas membuat keputusan untuk berkahwin dengan Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno, Mohd Sumali Reduan, 40, yang dijadualkan pada 22 Disember depan.
"Saya tak mahu komen tentang perkara itu. Bagi saya apa yang dah lepas itu lepas..." katanya.
Aliff Aziz, 21, pada Khamis mendedahkan hatinya benar-benar terluka selepas bekas kekasihnya Anne Ngasri membuat keputusan untuk berkahwin dengan lelaki lain walaupun pada dasarnya mereka sudah berbincang untuk bernikah pada bulan yang sama.
Bagaimanapun Aliff menganggap kesilapan yang mungkin telah dia lakukan terhadap perhubungan itu menyebabkan wanita tersebut memilih lelaki lain sebagai calon suami.
Sementara itu Anne berkata keengganannya untuk mengulas lanjut bukan kerana ingin menjaga hati mana-mana pihak, sebaliknya ia merupakan pendiriannya untuk tidak bercakap lagi tentang Aliff
"Saya tidak mahu bercakap mengenainya (Aliff) lagi. Dan ia adalah pendirian saya, bukannya untuk menjaga mana-mana pihak," ujarnya.
Anne telah bertunang dengan Mohd Sumali di kediaman keluarga Anne di Taman Bukit Permai, Jalan Ipoh, dekat sini pada 11 November lalu.
Pasangan itu bersepakat untuk mengadakan majlis akad nikah di rumah keluarga pihak lelaki di Pontian, Johor.
Anne sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan, 30, pada 26 Mei 2006 tetapi berpisah empat tahun kemudian.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah yang berusia dua tahun.