Bakal Suami Anne Ngasri Berharap Perkahwinan Kali Ini Dapat Memperbaiki Kesilapan Lalu

4:27 AM
Bakal suami Anne Ngasri iaitu Mohd Sumali Reduan menganggap perkahwinan kedua mereka yang bakal berlangsung pada Disember depan adalah satu titik kebahagiaan selepas kedua-duanya pernah mengalami kegagalan rumah tangga.

Sumali, 40, yang juga Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno berkata, menerusi perkahwinan itu nanti mereka dapat memperbaiki kesilapan yang pernah dilakukan pada perkahwinan pertama masing-masing supaya dapat membentuk sebuah keluarga yang harmoni dan bahagia.

"Kami berdua sangat serius dengan hubungan ini kerana ingin mencari kebahagiaan dan berharap dengan pengalaman lalu dapat mengajar kami untuk membentuk sebuah keluarga bahagia.

"Kami saling melengkapi dan pertemuan setahun lalu telah ditentukan dan saya yakin dia adalah pilihan terbaik," katanya.

Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 28, dan Sumali telah bertunang di kediaman keluarga Anne di Jalan Ipoh, dekat sini pada 11 November lalu.

Majlis tersebut dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

Pasangan itu menetapkan tarikh 22 Disember depan dan bersepakat untuk bernikah di rumah keluarga lelaki di Pontian, Johor.

Sumali yang telah bercerai pada tahun 2010 mempunyai seorang anak lelaki, Suffian Hakim yang berusia tujuh tahun.

Powered by Blogger.