Filem 'Istanbul Aku Datang' Kutip RM1.8 Juta Selepas Tujuh Hari Tayangan
Selepas seminggu ditayangkan di pawagam, filem 'Istanbul Aku Datang' arahan Bernard Chauly berjaya mengutip hampir RM1.8 juta. Ia merupakan pencapaian hebat selepas tahun ini yang banyak melihat filem-filem lawak seperti Adnan Sempit 2 (RM6.82 juta), Mael Lambong (RM4.88 juta), Hantu Gangster (RM3.45 juta), dan juga Hantu Kapcai (RM3.19 juta) memegang tempat kutipan tertinggi. (via FINAS)
Bertempat di Istanbul, Turki, filem diterajui Lisa Surihani, Beto Qusyairy dan Tomok ini telah berjaya mencuri hati ramai penonton dan rata-rata komen yang diberikan semuanya adalah positif. Tidak kurang juga ada yang sudah menonton 2 kali.
Menurut komen seorang pengkritik filem, Syazwan Zakariah (@Syazwanzakariah) melalui akaun Twitter Grand Brilliance (@GrandBrilliance), beliau membayangkan filem ini sebagai sebuah cerita yang menarik dan tak jemu walaupun ditonton berulang kali.
Menerusi akaun Twitter Grand Brilliance juga, filem 'Istanbul Aku Datang' telah mencatat rekod tersendiri apabila menjadi “Trending” sebanyak 3 kali.