Johan Raja Lawak Mahu Susuk Tubuh Macam Dulu
Muhammad Yazid Lim Mohd Aziz, 28 atau lebih dikenali dengan Johan, berkata, penambahan itu bermula apabila dia selalu menemani isterinya, Ozlyn Wati, yang sarat mengandung lapan bulan itu makan malam sehinggakan berat badan pasangan itu bertambah dengan mendadak.
"Sejak isteri saya mengandung, dia suka memasak dan sayalah yang akan makan kebanyakan daripada masakannya, dia pun kuat makan.
"Jadi, apabila kandungan turut terjejas dengan penambahan berat badan isteri, kami membuat keputusan untuk saling menjaga pemakanan antara satu sama lain.
"Dan sejak mula kawal pemakanan lapan bulan lalu, saya berjaya mengurangkan berat badan sebanyak tujuk kilogram (kg) daripada berat asal iaitu 85 kg," katanya.
Tambah penyampai radio Era FM lagi, dia juga mengambil inisiatif dengan kembali aktif bermain sukan bola sepak bersama pemain-pemain veteran Selangor yang pernah ditinggalkannya dua tahun yang lalu.
Bagaimanapun, Johan berkata, keinginannya untuk mengurangkan berat badan bukan kerana cemburu dengan penampilannya yang jauh lebih kurus seperti di awal kemunculannya dahulu, sebaliknya ia dilakukan demi penjagaan kesihatan.
Dalam pada itu, beritahunya, walaupun ingin mendapatkan berat badan yang ideal, dia tidak akan mengambil jalan pantas dengan mempercayai pengambilan pil kurus.
"Saya tidak percayakan pil kurus. Bagi saya, biarlah lambat, asalkan ia tidak menjejaskan kesihatan diri.
"Antara rutin pemakanan saya setiap hari ialah oat. Ia sangat mengenyangkan dan mampu menjaga kolestrol dalam badan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Johan bakal muncul menerusi filem Pontianak vs Orang Minyak sebagai watak utama bersama-sama dengan Nabil yang akan ditayangkan pada 22 November ini.
Filem yang diterbitkan oleh Ismail Holdings dan Vision Works Sdn. Bhd itu memaparkan perjalanan dua orang pemuda (Johan dan Nabil) yang terjebak dalam dunia halus setelah masing-masing kecewa dengan haluan hidup mereka.
Ponti (Nabil) dilantik menjadi Pontianak lelaki manakala Omi (Johan) pula menyerahkan diri untuk dilatih sebagai orang minyak.
Antara barisan pelakon lain ialah Lana Nordin, Afdlin Shauki, Sharifah Shahirah, Khir Rahman, Adibah Nor, Harun Salim Bachik, Fizz Fairuz dan Sharifah Amani.