Justin Bieber Dan Selena Gomez Berpisah
Menurut laporan E! News, Justin Bieber dan Selena Gomez yang mula mendedahkan hubungan mereka pada Februari 2011 itu difahamkan berpisah pada minggu lalu selepas beberapa kali dikhabarkan putus sebelum ini.
“Mereka berpisah pada minggu lalu. Jadual kerja yang padat menyulitkan keadaan untuk mengekalkan hubungan mereka,” kata seorang sumber kepada portal itu.
Berita perpisahan itu timbul susulan khabar yang mendakwa Bieber dilihat keluar bersama dengan model Victoria’s Secret, Barbara Palvin di New York.
Bieber dan Palvin dilihat bersama selepas penyanyi itu mengadakan persembahan pada pertunjukan fesyen jenama itu di New York pada Rabu lalu.Mereka kemudiannya dilihat mesra ketika menonton pementasan teater Lion King di Broadway.
Berita perpisahan Justin Bieber dan Selena Gomez itu dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana Bieber pernah mendedahkan sebelum ini dia tidak akan pergi ke mana-mana tanpa ditemani Gomez.
“Saya tidak akan berpisah dengan Selena kerana saya tidak mahu dia beranggapan saya berasa malu ketika bersamanya.
“Saya percaya ramai lelaki mempunyai perasaan begitu, terutamanya apabila membabitkan urusan kerja.
"Mereka tidak mahu dilihat bersama kekasih, jadi mereka membuat keputusan untuk hadir pada sesuatu acara secara berasingan. Namun, saya dan Selena melakukan apa sahaja bersama,” katanya.