Soo Wincci Berhijrah Ke Taiwan

4:02 AM
Rupanya gadis berbangsa Cina yang pernah menyandang gelaran Miss Malaysia/World 2008, Soo Wincci, tidak pernah berhenti daripada mengejar impiannya untuk berjaya hingga ke Hollywood. Kini dia memulakan langkah dengan berhijrah ke Taiwan dan berada disana untuk mempelajari selok-belok menjadi seorang penghibur berkaliber.

Perkara ini dikongsi oleh pengurusnya di sini, Liza Ilias daripada Wake The Baby yang selama ini bertungkus lumus menaikkan lagi nama Soo Wincci yang juga dikenali sebagai Ratu Dessert di dalam program realiti Masterchef Selebriti Malaysia dan ia berjaya memikat hati peminat tempatan dan Melayu terutamanya.

"Memang sekarang Soo Wincci berada di Taiwan dan akan menetap disana lebih kurang setahun bermula awal November lalu. Di sana dia akan menjalani pembikinan album berbahasa Mandarin. Album ini akan dipasarkan dulu di sana sebelum di bawa ke Malaysia. Dalam pada itu Wincci kini sedang sibuk menjalani pelbagai latihan intensif.

"Ini termasuklah latihan vokal, menari, membuat persembahan dan pelbagai lagi yang diperlukan untuk membuka mata pihak luar kepada kebolehan gadis daripada Malaysia ini. Di Taiwan dia diurus oleh Beyond Artiste iaitu agensi yang bertanggungjawab membawanya kesana.

"Wincci memilih Taiwan kerana melihat potensi yang ada dengan gaya sambutan daripada peminat tempatan. Katanya di sana, jika seseorang artis tersebut mempunyai kebolehan dan pakej yang lengkap pasti akan menempa populariti dengan cepat, tidak kira dari mana dia berasal.

"Kerana itulah sebelum tampil di industri hiburan Taiwan, Wincci harus membuat persiapan lengkap serta rapi. Semua telah pun diaturkan dan di peringkat awal ini, Wincci berkongsi beberapa foto aktiviti yang dijalaninya di sana,"ujar Liza mengenai artis dibawah jagaannya itu.

Dalam pada itu, Liza juga memberitahu walaupun sibuk di Taiwan tetapi Soo Wincci masih akan pulang ke Malaysia kerana komitmennya di sini. Antaranya adalah tugas sebagai duta kepada produk Avon bagi penjagaan kulit dan juga majlis atau undangan yang telah dipersetujuinya sebelum pergi ke Taiwan.

"Pemergiannya ke sana untuk masa yang lama tidak bermaksud dia akan melupakan industri hiburan tempatan. Tujuan dia kesana adalah untuk melebarkan sayapnya tetapi akan tetap pulang ke sini seperti baru-baru ini dia pulang untuk menghadiri Anugerah Industri Muzik 19.

"Bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) juga sama, jika dia tercalon pasti dia akan pulang. Selain itu dia masih lagi menjadi duta kepada Avon bagi produk penjagaan kulit dan perlu berada di tanahair jika ada sebarang promosi juga acara.

"Kami di Wake The Baby juga telah menyusun strategi untuk membuatkan dia dilihat sentiasa berada di Malaysia. Persiapan awal ini membuat saya tidak risau mengenai popularitinya yang akan berkurangan di kalangan peminat di Malaysia,"tambah Liza.

Selepas penglibatan dalam Masterchef Selebriti, Soo Wincci juga telah melahirkan single Melayu pertamanya, Terus Teranglah bersama Joe Flizzow sebagai mendekatkan lagi diri dengan semua kaum yang ada di Malaysia.

Khas buat pembaca kami, jom tonton muzik video Terus Teranglah daripada Soo Wincci dengan penampilan istimewa Joe Flizzow yang telah pun berada di laman Youtube sejak Oktober lalu.

Powered by Blogger.