Tewaskan Dato` Siti, Jaclyn Victor Tak Rasa Dirinya Hebat
Malah, Jaclyn Victor menyifatkan kejayaannya pada malam tersebut merupakan merupakan satu bonus tambahan buat kerjaya seninya sejak menceburi bidang itu secara serius kira-kira 8 tahun lalu.
"Saya menang ini bukan kerana kesemua yang terrcalon dalam kategori ini tidak bagus atau hebat berbanding saya. Pada saya, semua ada kelebihan masing-masing dan saya bertapak dalam industri ini pun kerana mereka.
"Saya akui semua yang bersaing termasuk Dato` Siti Nurhaliza merupakan penyanyi hebat yang selama ini menjadi inspirasi saya, cuma kejayaan kali ini berpihak pada saya dan saya anggap ini satu bonus buat kerjaya seni saya.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana ini merupakan kali kedua saya dinobatkan dalam kategori vokal di AIM. Bagi saya ini satu pengiktirafan yang besar buat penyanyi seperti saya kerana anugerah ini benar-benar ditujukan kepada saya," katanya yang ditemui selepas AIM19 yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, malam semalam.
Selain Siti Nurhaliza, Jaclyn juga telah menewaskan penyanyi lain yang turut berada dalam kategori tersebut seperti Nora menerusi lagu Doa dan Shila Amzah menerusi lagu Patah Seribu yang telah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik AIM19.
Biarpun Counting Days ciptaan Aubrey Suwito telah menobatkannya sebagai Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), namun Jaclyn akui lagu itu tidak sepopular lagu lain yang menjadi kegemaran ramai.
"Lagu ini tidak popular kerana ia tidak dideahkan atau dikomersilkan seperti lagu lain. Sebenarnya lagu ini terdapat dalam album Aubrey yang berjudul Home. Saya tidak kisah jika ada yang merasakan lagu ini tidak layak menang kerana bagi saya di sini ianya bukan terletak pada populariti tetapi kualiti. Lagipun sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu tersebut saya bangga kerana lagu itu telah memberi kejayaan yang besar buat saya," jelasnya lagi.
Selain Jaclyn, Aubrey Suwito turut memenangi dua anugerah lain menerusi lagu Counting Days iaitu Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.