Umno Dituduh Murtad, Saya Jadi Panas - Azhar Sulaiman
Ketidakpuasan hatinya itu diluahkan di dalam status akaun Facebook milik Azhar Sulaiman sendiri semalam dengan cara sindirin selepas mengaku dirinya kini sudah murtad kerana merupakan ahli UMNO.
Azhar Sulaiman berkata kenyataannya itu ringkas untuk difahami supaya status murtad tidak sewenang-wenangnya dilabelkan begitu sahaja kepada sesetengah pihak.
"Pada usia saya yang sebegini, saya tidak pernah terlibat di dalam politik secara serius walaupun saya sendiri merupakan ahli Umno, namun bila Nik Aziz mendakwa semua ahli UMNO adalah murtad saya jadi panas!
"Jadi saya menulis di status saya secara sindirin yang agak nakal tetapi ringkas dan straight to the point untuk difahami. Malah saya sengaja menjadi pencetus kepada dakwaan Nik Aziz itu supaya semua pihak membuka minda memikirkannya.
"Mengapa begitu mudah dia (Nik Aziz) menghakimi orang (UMNO) sebegitu rupa? Padahal siapa pun kita, sebagai seorang Islam kita menyembah Tuhan yang sama," katanya.
Dalam statuts akaun Facebook Azhar menulis " Assalamualaikum ustaz... Saya ni sebenarnya sudah murtad sebab saya ahli UMNO dan penyokong kerajaan Barisan Nasional... jadi macam mana untuk saya pulang ke semula kepangkuan agama Islam... Harap bantu..Tq"
Status atau kenyataan Azhar itu bagaimanapun telah mengundang rasa tidak senang oleh beberapa pihak yang merasakan dia cuba untuk memesongkan akidah serta memecah belahkan orang Islam.
Namun Azhar memberitahu, sepatutnya isu murtad sebenarnya yang berlaku dalam realiti umat Islam sekarang perlu diambil berat, berbanding menggunakan kepentingan agama di dalam politik semata-mata.
"Saya sedar ketika saya menulis status tersebut di facebook dan selepas itu saya pun mengucap dua kalimah syahadah. Jatuhnya murtad saya atau tidak itu antara saya dan Allah.
"Mungkin mereka yang memberi komen begitu prihatin kepada saya supaya seorang kaum seagamanya ini tidak tidak terkeluar daripada agama Islam. Namun apa pula ceritanya dengan sejumlah umat Islam yang sudah memohon untuk ditukarkan agama? Adakah mereka sedar?
"Mungkin mereka sudah terbuai dengan kata-kata Nurul Izzah (Naib Presiden PKR) yang mengatakan Melayu sepatutnya bebas beragama. Apa itu? Ia telah melemahkan orang Islam begitu sahaja," luahnya lagi.
Dalam pada itu, Azhar berharap sesetengah pihak tidak menganggap isu yang dibangkitkan itu hanya untuk meraih publisiti murahan memandangkan dia seorang selebriti yang dikenali ramai.
"Saya bukan mahu meraih apa-apa populariti atau publisiti apa yang saya tulis itu saya maksudkan dan harap isu murtad ini mendapat prihatin lebih ramai pihak dan diselesaikan secara baik," tambahnya lagi.
Mengenai perkembangan terbaru Azhar, dia kini baru sahaja memulakan penggambaran drama bersiri 26 episod untuk RTM1 bersama pelakon Intan Ladyana, Norman Hakim dan ramai lagi.