Shila Tidak Sengaja Cium Tangan Sharnaaz Dan Minta Maaf

8:20 AM
Shila Amzah memohon maaf kepada semua peminat kerana mencium tangan kekasihnya Sharnaaz Ahmad ketika namanya diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik menerusi Patah Seribu pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19, malam Sabtu lalu.

Nur Shahila Amir Amzah atau Shila, 22, berkata, tindakan itu dilakukan secara tidak sengaja lebih-lebih lagi pada ketika itu dia berada di samping orang yang disayanginya apabila pengumuman dibuat.

"Saya ingin meminta maaf atas kekhilafan saya itu. Ketika itu saya terlalu teruja dan pengumuman itu dibuat ketika saya berda di samping orang yang saya sayang.

"Ia merupakan satu pengajaran buat saya dan saya bukanlah seorang yang sempurna," katanya.

Aksi Shila mencium tangan Sharnaaz selepas diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik menimbulkan perasaan kurang senang pada khalayak.

Peminat Shila melahirkan rasa kekecewaan di Facebook dan Twitter kerana perbuatan itu dianggap telah melanggar batasan sebagai wanita Muslimah yang bertudung.

Patah Seribu yang juga merupakan pemenang bagi kategori Lagu Pop Terbaik telah menewaskan 5 lagu lain iaitu Counting Days (Jaclyn Victor), Aku Maafkan Kamu (Malique & Jamal Abdillah), Idola (Azlan & The Typewritter), Doa (Nora) dan Kuasa Cinta (Noraniza Idris).

Tambah Shila, dia juga ingin menjelaskan kepada mana-mana pihak tentang ucapannya yang pertama kali memenangi anugerah di negara ini.

"Apabila saya kata tak pernah menang apa-apa dalam negara sendiri, itu bermaksud tentang karier solo saya.

"Memang saya ada menang anugerah tapi ia menerusi 3 Suara bersama-sama dengan Ning Baizura dan Jaclyn Victor. Saya sangat bersyukur dengan pengiktirafan tersebut.

"Saya harap tidak ada lagi yang salah faham dengan kenyataan tersebut," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis AIM, Shila berkata, dia bersyukur dan berbangga dengan penantian 12 tahun sepanjang berada di bidang seni muzik berbaloi lebih-lebih lagi apabila lagu yang diiktiraf itu merupakan hasil ciptaannya sendiri.

"Alhamdulillah, ini adalah rezeki Allah berikan pada saya. Walaupun tidak pernah diiktiraf selama ini, saya tidak tidak pernah kecewa, tetapi ia mungkin satu pengajaran bahawa apa yang saya tampilkan selama ini belum cukup kuat.

"Tetapi dalam hati ada juga terfikir dan bertanya sendirian bilalah masanya untuk saya mencapai kejayaan seperti rakan-rakan seperjuangan lain. Bagaimanapun saya simpan sahaja perasaan itu dan mengharapkan kemenangan itu berpihak pada saya pula, dan saat itu akhirnya dapat dirasa.

"Terus-terang saya sendiri tidak jangka Patah Seribu dapat diiktiraf ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia dihasilkan dalam masa 20 minit sahaja," ujarnya.

Powered by Blogger.