Siti Nurhaliza Puas Dengan Konsert Di Pahang
“Alhamdulillah Siti bersyukur kerana semuanya berjalan lancar mengikut apa yang dirancang sebelum ini. Siti sangat gembira kerana dapat mengadakan konsert solo pertama di negeri kelahiran Siti dan Siti juga terharu kerana peminat dari Indonesia dan Singapura bersusah payah kerana sanggup datang dari jauh untuk menonton konsert Siti di Kuantan ini.”
“Dengan mengadakan persembahan Siti di Kuantan, Siti dapat mengumpulkan semula ahli keluarga, peminat dan yang paling istimewa apabila DYMM Sultan Pahang turut sudi hadir untuk menonton persembahan Siti di sini,” ujar penyanyi tersohor itu.
Siti memberitahu bahawa konsep pada malam itu merupakan hiburan ringan yang tidak terlalu berat dan lebih kepada santai.
“Konsep yang Siti tonjolkan pada konsert kali ini ialah konsep yang tidak terlalu berat dan lebih kepada santai dan dari segi muzik ada beberapa perubahan pada susunan muzik telah dilakukan dalam lagu-lagu seperti Cindai dan Nirmala supaya ia kelihatan lebih moden dan lebih menghiburkan,” katanya.
Mengenai lagu-lagu yang disampaikan pada konsertnya kali ini adalah pilihannya sendiri dan juga pihak SNP.
“Pilihan lagu untuk konsert kali ini adalah pilihan Siti sendiri dan juga kak Rozi tetapi keseluruhannya Siti yang pilih lagu mana yang ingin Siti sampaikan.
“Persiapan untuk konsert kali ini adalah selama 3 minggu, dan Siti berbincang dengan Aubrey untuk susunan lagu dan muzik yang mana sesuai dan berpandukan keinginan Siti sendiri. Latihan untuk menari pula hanyalah mengambil masa selama 4 hari sahaja dan untuk latihan bersama pemuzik mengambil masa selama 2 hari,. Pengarah muzik, Aubrey Suwito sangat membantu dan tahu apa yang saya kehendaki.,” ujarnya lagi.
Buat pengetahuan anda dalam konsertnya itu, Siti Nurhaliza turut menyampaikan sebuah ‘single’nya yang terbaru berjudul ‘Galau’ dan lagu tersebut cukup mendayu-dayu sehingga menusuk kalbu hingga membuai perasaan setiap yang menonton persembahannya itu.
“Sebenarnya lagu ‘Galau’ dah lama saya rakamkan dan pencipta untuk lagu ini merupakan seorang komposer dari Indonesia. Buat pertama kalinya saya mempersembahkannya pada konsert di Kuantan ini.” katanya.
Pelantun lagu Biarlah Rahsia itu juga turut gembira dengan sambutan terhadap konsertnya yang pertama yang diadakan di sini.
“Siti bersyukur kerana konsert ini mencapai sasaran dan Siti sangat gembira dengan sambutan peminat-peminat yang sanggup datang ke Bukit Gambang dengan keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu. Siti sangat menghargai pengorbanan dan sokongan-sokongan yang telah mereka berikan,” kata penyanyi nombor satu negara itu.
Di kesempatan itu juga Dato’ Siti Nurhaliza sempat mengucapkan jutaan ribuan terima kasih kepada semua peminat dan pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan konsert nya di Kuantan pada kali ini.
Buat peminat-peminat Indonesia, Dato’ Siti Nurhaliza akan mengadakan siri jelajah konsertnya di sekitar bandar di Indonesia yang akan bermula pada 8 sehingga 14 Disember depan.
Lokasi-lokasi yang terpilih antaranya Jakarta, Pekan Baru Sumatera, dan Banjar Baru Kalimantan. Selain itu Siti dijangka akan mengadakan persembahan bersama Amy Search dan Shila Amzah di konsert jelajah tersebut. Kepada peminat-peminat Dato’ Siti Nurhaliza jangan lupa untuk menyaksikannya.