Aznil Anggap Tawaran Jadi Ketua Penyamun Sebagai 'Rezeki Terpijak'
Figura yang mesra dengan panggilan Pak Nil ni berkata dia langsung tidak menjangka akan berlakon dalam teater tahun ini memandangkan agak lama beliau tidak muncul di pentas berkenaan. Kali terakhir, beliau memainkan watak antagonis dalam Teater The Secret Life of Nora, sebagai Mr. J, pada September tahun lalu. Sementelah ini juga merupakan kali kedua pelakon berusia 50 tahun itu menerajui Teater Muzikal Ali Baba.
"Bersyukur untuk sekian kalinya diberi peluang jadi sebahagian daripada teater ini. Ni kali kedua saya jayakan teater Ali Baba. Saya bersetuju untuk menerima tawaran ni sebab mulanya begini, beberapa bulan lalu saya ditanya di Twitter oleh salah seorang kru produksi Istana Budaya. Dia bertanyakan pada saya, "nak buat tak Ali Baba?" Saya jawab, mungkin.
"Kemudian sekitar awal bulan ini, ada peminat tweet kepada saya dan peminat itu berkata "Tak sabar nk tengok Pak Nil dalam Ali Baba" dan peminat itu siap tweet posternya sekali yang tertera gambar saya. Saya terkejut sebab saya belum pun beri kata setuju tapi posternya sudah ada.
"Dan baru-baru ini, saya berjumpa dengan Ketua Pengarah Istana Budaya (abang Joe) di satu majlis negara, abang Joe mohon maaf pada saya kerana pihaknya menggunakan gambar saya untuk poster teater tersebut sebelum bertanyakan kepada saya. Lalu terus abang Joe tawarkan saya watak ketua penyamun ini. Saya setuju untuk berlakon kerana ini saya kira sebagai satu sumbangan saya untuk negara. Untuk 10 hari dan dengan bayaran setimpal, saya anggap tawaran ini sebagai rezeki terpijak saya di akhir tahun 2012 ini", katanya.
Aznil ditemui pada sidang media Teater Muzikal Ali Baba bertempat di Istana Budaya, petang semalam.
Selain itu Aznil berkata karakter ketua penyamun itu sebagai satu cabaran dan beliau teruja mahu bekerjasama buat pertama kali di pentas teater bersama pelakon Fizo Omar dan Elfira Loy.
Kali kedua sebagai ketua penyamun, Aznil memberitahu dalam pementasan lalu, dia menggunakan pendekatan menukar skrip pada setiap malam. Untuk teater kali ini, formula itu akan digunakan kembali dan lebih menarik, pementasan kali ini lebih interaktif bersama penonton.
"Saya suka bawakan watak sebegini (ketua penyamun) kerana ia satu watak yang penuh warna dan lucu. Saya tak boleh bayangkan kalau saya bawa watak berat dan menangis bagai memang sukar dan saya tak mahu watak sebegitu.
"Tapi apa yang saya runsingkan ialah saya takut saya tak boleh berlari dan menari. Almaklum, dah tua, dah 50 tahun (gelak). Saya juga takut penonton tak dapat nak bezakan dengan watak Profesor Klon yang memang dah sinonim dengan saya. Tambahan watak ini adalah watak yang dibawakan P. Ramlee dan kita tahu kan lakonan Allahyarham bagaimana hebatnya. Tapi itu semua adalah cabaran bagi saya", ulas Aznil mengenai wataknya itu.
Dalam perkembangan lain, Aznil juga sibuk dengan rakaman program terbitan Astro, Superstar. Disamping selaku naib presiden di Jabatan Bakat TV dan radio sejak mei lalu, Aznil bertindak sebagai pengajar di stesen TV berbayar itu.
"Saya melatih bakat baru di Astro, berkongsi ilmu dan pengalaman saya selama 22 tahun dalam industri ini. Setakat ni di bawah saya ada 17 orang. Saya bukan saja pengajar tetapi saya juga bertanggungjawab ke atas mereka dari segi disiplin, tindak tanduk, tingkah laku mereka walaupun diluar waktu kerja", ujarnya ringkas.