Bangga Selepas Dedahkan Diri Seorang Lesbian
Lebih daripada 4,000 orang termasuk ibu bapa Denise, kawan-kawan rapat seperti Anthony Wong Yiu-ming, penulis lirik Wyman Wong dan bekas pelakon Hilary Tsui juga isteri kepada penyanyi Edmond Leung Karen, semuanya bersorak tanda memberi sokongan kepada penyanyi Hong Kong itu saat dia membuat pengumuman, baru-baru ini.
Denise membuat kenyataan tersebut semasa perarakkan 'Dare To Love Pride LGBT' di Hong Kong pada Sabtu lalu. Perhimpunan itu itu juga dikenali sebagai perbincangan secara terbuka bersama orang awam mengenai undang-undang untuk memastikan hak-hak yang sama bagi semua orientasi seksual.
"Hari ini sangat bermakna kepada saya. "Pihak media telah menyoal saya selama bertahun-tahun, tetapi selama ini saya tidak fikir ia adalah perlu untuk saya memberi jawapan kepada mereka mengenai diri saya. Tetapi apabila masyarakat semakin membuat penghinaan terhadap gay, saya tidak boleh terus berdiam diri."
"Dah lama saya fikir untuk lakukan seperti hari ini, tetapi saya tidak dapat mencari peluang yang betul. Hari ini, pada majlis yang penuh dengan kasih sayang, keamanan dan toleransi ni, maka tanggungjawab saya berdiri di sini untuk cinta," katanya, sebelum berhenti seketika dan menarik nafas lega.
Dan kemudian dia berkata, "Saya amat bangga untuk memberitahu semua orang yang saya, lesbian", lantas disambut dengan tepukan gemuruh orang ramai.
Kemudian, Denise turut menulis di laman sosial Weibo, "Hari ini saya sangat gembira. Cabaran yang lebih besar sedang menunggu di hadapan masa depan. Tetapi apa yang lebih penting sekarang, saya akan menyuarakan untuk kita semua. "
Keesokan harinya, Denise dengan penuh bersemangat memberitahu pemberita yang dia berasa lega kerana tidak menyembunyikan lagi rahsia tentang dirinya.
Antara individu yang memberikan restu kepada penyanyi ini adalah bapanya sendiri. "Saya menelefon ayah saya [untuk meminta pendapat dia] dan dia memberitahu supaya meneruskan hasrat saya," katanya.
Penyanyi berusia 35 tahun ini pernah gosipkan menjalin hubungan dengan penyanyi Cantopop Joey Yung. Namun kedua-duanya menafikan khabar tersebut dan mengatakan yang mereka hanya kawan. Joey kini menjalin hubungan dengan penyanyi Wilfred Lau.
Denise mungkin bintang lesbian pertama di Hong Kong, tetapi dia bukan selebriti pertama yang membuat pendedahan secara terbuka di sana. Penyanyi-penerbit, Anthony pernah mengesahkan khabar angin tentang seksualitinya di konsert Pair Tat Ming.
"Orang ramai tidak perlu meneka lagi. Saya gay. Saya homoseksual," katanya Anthony.
Pengarah Stanley Kwan dan penyanyi-penulis lagu, Chet Lam juga pernah membuat pendedahan seperti itu dan mereka sangat bangga.
Terdahulu dalam laporan berasingan sebelum ini, hartawan Hong Kong, Cecil Chao pernah membuat tawaran mahu memberikan ganjaran sebanyak RM200 juta kepada sesiapa yang mampu mengubah anak perempuan, Gigi (seorang lesbian) selepas dia berkahwin dengan teman wanitanya di Paris pada awal tahun ini. Kisah Gigi mendapat perhatian pelakon-pelawak terkenal Sacha Baron Cohen yang mahu kisah pasangan itu dijadikan filem berjudul The Lesbian.