Klangit Ke Kelaut? Klangit Disaran Tukar Nama Kelaut
Bercakap pasal penganjuran anugerah besar, pada malam Sabtu yang lalu, kami antara orang yang tidak ketinggalan tercongok di depan televisyen untuk menonton Anugerah Industri Muzik Malaysia 19 (AIM 19).
Ini ada satu perkara yang menjadi kemusykilan pada kami setelah melihat beberapa segmen persembahan yang berlangsung pada malam tersebut.
Maklumlah Astro ada saluran Mustika HD, jelas semua benda yang kita tonton. Cuba teka siapa yang ingin kami hencap kali ini. Siapa lagi kalau bukan kumpulan yang menamakan diri mereka, Klangit.
Bukan nak hencap sebab apa, sebenarnya menyokong jugak keberadaan mereka dalam industri ini. Lagi-lagi selepas melihat sendiri kegigihan mereka dalam membawa nama dengan muzik mereka itu.
Tidak dinafikan Klangit mempunyai peminat mereka tersendiri dan lagu Sesal Mendua menjadi lagu favourite ramai. Begitu juga dengan lagu terbatu mereka, Lydia. Tetapi apa sudah jadi pada malam AIM tersebut. Ini bukan main-main tau, ini malam kemuncal AIM 19 dan vokalis Klangit seperti mahu tercabut nyawanya menyanyikan lagu hit mereka itu.
Pada mulanya taksub juga melihat persiapan mereka dengan stand mikrofon dibuat khas dengan simbol kumpulan tersebut iaitu Thunderbolt atau petir tetapi bila vokalisnya mula menyanyi, kami rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengannya.
Suaranya juga tenggelam timbul dan gelagatnya, MasyaAllah tidak tahulah. Terkinja-kinja dan seperti bergelut pun ada.
Sebelum ini kami pernah juga melihat persembahan mereka tetapi rasanya tidaklah teruk pun. Ini bukannya gig biasa atau roadshow tau. Ini malam berprestij mengangkat karyawan muzik tempatan jadi sepatutnya daripada waktu rehearsal lagi, segala kekurangan harus diperbetulkan.
Maaflah jika kami kejam dalam memberikan kata-kata. Namun, persembahan Klangit juga menjadi bualan di Twitter dan ramai bersetuju mereka patut menukar nama daripada Klangit kepada Kelaut.
Diharapkan perkara seperti ini tidak lagi berlaku dan mungkin jika Klangit ada penjelasan mengenai hal ini diminta berbuat demikian demi membersihkan nama mereka yang tercalar dek persembahan yang disifatkan agak teruk itu.