Tarikh Pernikahan Khairul Fahmi 'Apex' dan Leuniey 21 November Ini
Pengumuman rasmi itu bakal dibuat oleh Apex sendiri di sidang media perkahwinan Apex dan Leuniey yang bakal di adakan di Hotel The Royale Bintang, Damansara yang merupakan penaja lokasi perkahwinan Apex.
Pada sidang media tersebut, Apex juga bakal mengumumkan pihak yang terlibat pada majlis bersejarahnya itu nanti.
"Insya-Allah, saya akan meluangkan masa seketika pada Rabu ini untuk mengumumkan tarikh perkahwinan saya. Saya juga akan cuba menjawab persoalan berkaitan majlis penting ini.
"Apapun, terima kasih kepada semua pihak yang setia menunggu untuk mengetahui tarikh nikah saya. Yang penting, saya berharap agar semua pihak mendoakan perjalanan perkahwinan saya lancar.
"Begitu juga saya berharap semua pihak terus menyokong Harimau Malaya untuk Piala AFF Suzuki 2012 yang bermula 25 November ini," katanya.
Sementara itu, peminat setia Apex boleh menonton di sebalik tabir pembikinan video pra-perkahwinan Apex bersama Leuniey menerusi program MeleTop yang diacarakan oleh Neelofa dan Nabil pada Selasa, 20 November jam 10 malam di Astro Ria.
Program pra-perkahwinan Apex ini diterbitkan oleh LH Media TV dan bakal ditayangkan secara online di portal rasmi perkahwinan mereka.