Nurul Cuba Pil Hormon Untuk Cepat Mengandung
Majlis telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran duta produk ini sendiri iaitu Nurul Wahab.
Sewaktu majlis berlangsung, Nurul sempat berkongsi pengalamannya sepanjang menggunakan rawatan ‘Glow & Glamour.’
“Menerusi pengambilan dan khidmat rawatan ‘Glow & Glamour’ ia telah mengembalikan keyakinan diri saya sendiri. Malah, mesin yang digunakan untuk setiap rawatan adalah selamat dan kesannya dapat dilihat dalam waktu yang singkat,” komen Nurul.
Mengulas lebih lanjut mengenai perkembangan terbaru, muncul juga persoalan bilakah Nurul dan suaminya, Eric akan menimang cahaya mata pertama memandangkan anak tunggal Nurul kini sudah berusia 14 tahun.
“Saya dan suami memang nak anak, tapi mungkin belum ada rezeki lagi. Sekarang ni saya tak nak fikirkan sangat sebab orang tua-tua pun ada pesan, kalau kita nak sesuatu kita tak boleh fikirkan sangat. Jadi, saya serahkan sahaja pada yang Esa.”
“Sebelum ni saya ada juga ambil pil hormon untuk cepatkan proses mengandung, disebabkan pengambilan pil tersebut badan saya terus naik 3kg iaitu dari 54kg – 57kg. Sekarang saya sedang ikuti rawatan yang ditetapkan oleh pihak ‘Glow & Glamour’ bagi dapatkan semula berat badan yang asal,” ujar Nurul sambil tergelak kecil.
Tahun lalu penyanyi dan duta produk ini pernah dihambat kontroversi mengenai isu tampil berpakaian seksi untuk promosi iklan produk perlangsingan badan ‘Glow & Glamour.’ Sewaktu promosi berjalan, ia adalah dalam suasana bulan Ramadhan dan lebih mencetuskan isu apabila terdapat eleman seolah-olah kubah masjid pada iklan tersebut.
“Sebenarnya pihak produk ini tidak menetapkan pakaian apa yang perlu saya pakai. Isu pakaian yang timbul pada tahun lalu disebabkan masalah komunikasi dan ia telah pun dibetulkan. Selepas insiden tersebut setiap iklan yang ingin dikeluarkan, pihak pengurusan akan bertanya dan dapatkan pandangan dari saya dahulu.”
“Peminat saya di Twitter pun ada juga bertanya bila saya nak pakai tudung dan sebagainya. Sebenarnya saya tak nak bertudung disebabkan ‘trend.’ Kalau boleh biarlah saya pakai disebabkan oleh Allah Taala dan ikhlas. Tapi, saya tak cakap yang pakai tudung semuanya ikut ‘trend’ jangan salah anggap pula ya.”
“Buat masa sekarang, saya lebih selesa berpakaian elegan dan suami ada juga nasihatkan saya dari segi pakaian. Sekiranya pakaian tersebut tidak mendatangkan keburukan, dia OK je,” respond Nurul mengenai penampilan dirinya.
Dalam pada itu, Nurul turut melahirkan rasa kesal terhadap pihak yang menyebarkan cerita kononnya dia enggan muncul dikaca televisyen setelah mendirikan rumahtangga.
“Saya pun tak tahu siapa yang menyebarkan cerita ini. Sebenarnya saya sangat perlukan sokongan pihak media untuk publisitikan kerjaya saya. Disebabkan isu tersebut saya telah buat blog sendiri dan upah PR untuk terangkan perkara sebenar,” ujar Nurul penuh kesal.
Merujuk perkembangan terbaru, Nurul bakal menjalankan promosikan album terbarunya berjudul ‘Mari’ yang telah mula dilancarkan pada bulan Jun lalu. Album tersebut memuatkan beberapa lagu terbaru seperti ‘Cinta Nurul,’ ‘Selamat Jalan,’ ‘Kerana Kau Ada’ dan juga, ‘Mari.’