Leuniey Rela Ditinggalkan Khairul Fahmi Lepas Kahwin
Apek, 23, berkata, perkara itu disebabkan kesibukannya sebagai pemain pasukan kebangsaan dan negeri Kelantan yang menuntutnya untuk meluangkan banyak masa di padang.
“Apabila berkahwin, mungkin saya tidak dapat memberi sepenuh masa saya kepada Leuniey dan keluarga kerana masa saya diluangkan dalam pasukan yang diwakili,” katanya kepada majalah Nona keluaran terbaharu.
Kedua-dua pasangan tersebut menjadi penghias muka hadapan majalah itu bagi keluaran Disember.
Tambah Apek, disebabkan faktor tersebut, penting baginya untuk mencari isteri yang benar-benar memahami dan keputusan mengahwini Leuniey adalah satu tindakan yang tepat.
Katanya wanita berusia 21 tahun itu seorang yang memahami kariernya sebagai pemain bola sepak selain berfikiran matang.
“Saya mencari wanita yang memahami kerjaya saya kerana ruang waktu saya yang terhad. Di mata saya Leuniey adalah wanita yang cukup sempurna,” katanya.
Semenara itu Leuniey pula berkata, dia tidak mempunyai masalah tentang perkara itu kerana dalam tempoh perkenalan yang dijalinkan, mereka juga jarang bertemu.
Bagaimanapun sebagai wanita dia tidak menafikan mempunyai perasaan cemburu dan menjadikan kepercayaan di antara satu sama lain bagi menghilangkan perasaan tersebut.
“Saya tidak ada masalah untuk ditinggalkan kerana sekarang pun Fahmi tidak selalu berada di sisi saya. Apa-apa pun hubungan ini bersandarkan kepada kepercayaan terhadap diri masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain Apek akan mengadakan sidang media pada Rabu ini bagi mengumumkan tarikh sebenar pernikahannya dengan Leuniey yang masih menjadi teka teki.
Majlis berkenaan akan diadakan di The Royale Hotel, Damansara dekat sini kira-kira pukul 12 tengah hari.