Nabil Terkejut Anak Perempuan Lahir Awal Tiga Minggu
Nabil, 29, berkata, perasaan itu wujud kerana anak yang masih belum diberikan nama itu dilahirkan tiga minggu lebih awal dari tarikh jangkaan isterinya Nazirah Ayub, 24, bersalin iaitu pada pertengahan Disember depan.
Menurutnya, anak sulungnya itu selamat dilahirkan pada pukul 8.40 pagi menerusi pembedahan Caesarean di sebuah klinik di Shah Alam, dekat sini selepas isterinya mengadu kesakitan pada sekitar pukul 3 pagi Ahad.
“Sebenarnya, saya masih terkejut dan rasa hendak menangis kerana tidak jangka dia (isteri) akan bersalin secepat ini. Kalau mengikut perkiraan dia dijangka bersalin dalam tempoh tiga minggu lalu.
“Memandangkan kelahiran ini berlaku secara mengejut, saya masih belum sempat ambil cuti kerana ikut perancangan saya akan mula bercuti pada Disember nanti,” katanya ketika dihubungi.
Pengacara program MeleTop itu berkata, dia berasa gembira dengan kelahiran itu turut mengakui debaran untuk menjalani fasa baru kehidupan sebagai seorang bapa.
“Saya bersyukur dan gembira kerana semuanya selamat dan terkawal. Namun, saya juga berasa gementar dan berdebar untuk bergelar bapa.
“InsyaAllah, saya akan menyesuaikan diri secara perlahan-lahan. Yang penting, isteri dan bayi berada dalam keadaan selamat dan sihat,” luahnya.
Ditanya mengenai nama pilihan untuk anak perempuan itu, Nabil berkata, dia dan isteri masih belum menetapkan sebarang nama pada waktu ini kerana kelahiran yang berlaku secara mengejut.
“Kami belum ada pilihan nama untuk anak ini lagi kerana tidak sangka kelahiran berlaku terlalu awal. Kalau ikutkan, kami memang buat persiapan untuk bulan depan.
“Kalau hendak tahu, saya dan isteri baru sahaja membeli buku panduan nama-nama Islam ketika kami keluar bersama pada malam tadi (malam Sabtu).
“Belum sempat pun saya selak nama-nama yang sesuai, anak sudah lahir. Tunggulah sehari dua lagi baru saya akan berikan nama,” kongsinya.