Zee Avi Mahu Bekerjasama Dengan Aizat Amdan

7:33 PM
Penyanyi bertaraf antarabangsa kelahiran Sarawak, Zee Avi berhasrat untuk menghasilkan sebuah album sepenuhnya dalam bahasa Melayu khas untuk peminat beliau di Malaysia.

Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, 25, berkata, hasrat itu telah lama dipendam namun kesibukan mempromosikan album di Amerika Syarikat telah mengganggu perancangan itu.

"Saya memang teringin menghasilkan sebuah album Melayu malah perancangan itu ada dan InsyaAllah suatu hari nanti ia akan menjadi realtiti," katanya.

Zee dikenali selepas memuat naik video nyanyiannya di laman Youtube dan mula mendapat perhatian daripada peminat muzik dan juga penyanyi Jack Johnson lalu mengambilnya bernaung dibawah label Brushfire Records & Ian Montone’s di Amerika Syarikat.

Popular dengan lagu Kantoi, album pertama Zee di Amerika berjaya menduduki tempat kedua dalam carta Billboard Heatseekers pada 2010 manakala album keduanya Ghost Bird berjaya mendapat menduduki tangga pertama carta yang sama.

Dalam pada itu, Zee menyatakan beliau teringin untuk bekerjasama dengan Aizat Amdan untuk album Melayu itu nanti kerana sukakan hasil kerja penyanyi dan komposer muda itu.

Kata Zee lagi, walaupun berada jauh di luar negara, dia sentiasa mengikuti perkembangan muzik tempatan yang sentiasa dekat dihatinya.

"Saya sangat meminati Aizat dan hasil karyanya sangat mengujakan malah saya ada memberitahu Aizat untuk bekerjasama untuk album itu nanti.

"Saya dapat membayangkan album itu nanti mempunyai elemen muzik klasik seperti lagu-lagu nyanyian R. Azmi dan artis-artis pada era itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zee berkata dia akan berada di Kuching, Sarawak untuk menghadiri Konvensyen Belia Kebangsaan pada November ini bagi memberi ceramah motivasi kepada remaja mengenai kejayaannya di luar negara.

Powered by Blogger.