(GAMBAR) Farid & Diana Berarak Atas Kereta Kuda, Blackout!, Hadiah BMW
Dihadiri kira-kira 600 tetamu terdiri daripada kaum keluarga, sanak-saudara kedua pihak, teman-teman selebriti, juga para media, majlis resepsi sebelah pihak perempuan yang penuh meriah ini diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya.
Sekitar jam 8.30 malam, pasangan mempelai tiba dan istimewa mereka diarak dengan menaiki kereta kuda hingga ke perkarangan pintu masuk menuju ke pelamin yang tersergam indah. Pengantin dirai dalam suasana open air ala 'Barbeque Wedding' - merupakan idea dari kedua mempelai sendiri yang mengimpikan suasana majlis seperti di kayangan.
Diana Danielle yang telah disahkan hamil (kini mencecah sebulan) kelihatan berseri-seri laksana bidadari dengan gaun putih hasil rekaan dari butik MimpiKita. Sementara Farid Kamil yang duduk di sebelah isteri tercinta segak dan tampan mengenakan baju seragam PDRM yang ditempah khas. Farid dan Diana di arak oleh sepasukan anggota PDRM sebagai simbolik Farid yang kini sedang dalam latihan sebagai anggota polis bantuan PDRM. Sebagai menambahkan lagi gimik, mereka turut berjalan melalui bawah pedang.
Namun baru saja beberapa langkah untuk menuju ke pelamin, tiba-tiba suasana menjadi kecoh disebabkan bekalan elektrik terputus. Hampir 10 minit majlis bergelap dan cahaya kembali menyinari majlis namun hanya di pelamin singgahsana pasangan mempelai saja yang bercahaya sementara tetamu yang hadir masih duduk dalam gelap di khemah-khemah yang di sediakan.
Kemudian majlis diteruskan dengan upacara menepung tawar oleh ibu Diana, ibu bapa Farid, produser terkenal David Teo serta beberapa saudara mara terdekat.
Selepas itu pengantin melaksanakan upacara memotong kek.
Pada malam penuh bersejarah ini, para tetamu disajikan dengan persembahan kuda daripada Unit Berkuda PDRM. Persembahan tersebut dibuat khas atas permintaan Farid sendiri melibatkan sebanyak 8 ekor kuda untuk perarakan Team Paging.
Lebih istimewa, bapa kepada Farid iaitu Dato' Dr. Zahari telah menghadiahkan suami isteri sebuah kereta jenis BMW X6 sebagai hadiah perkahwinan mereka.
Majlis persandingan mereka ini diserikan lagi dengan persembahan nyanyian antaranya daripada Adira dan Amir Jauhari.
Farid dan Diana akan mengadakan satu lagi majlis resepsi. Majlis sambut menantu tersebut akan berlangsung pada 12 Disember ini, dikampung halaman Farid iaitu di Jitra, Kedah.